Sunday, January 6, 2008

Kepentingan semak-samun

Sejak memegang kamera dan merakam setiap detik kehidupan flora dan fauna di kawasan kediaman saya, terasa begitu kerdil diri ini walaupun pada hakikat jasadnya, tentu saya lebih besar daripada binatang-binatang tersebut.

Kini saya sedar bertapa pentingnya semak-samun. Walaupun mungkin tidak kelihatan kemas, namun ia mengundang kepelbagaian kehidupan, terutamanya serangga. Maha Kuasa Allah menciptanya. Kepelbagaian warna-warni, bentuk, fungsi dan tentunya keindahan-keindahan ini perlu dirakamkan dengan sebaik mungkin sebagai salah-satu usaha pendidikan.

Tuesday, January 1, 2008

Entry 2008

Sekejap rasanya masa berlalu. Pejam celik pejam celik, sudah masuk 2008. Dan bertambah lagi umur. Alam juga semakin tua dan berubah. Kalau dulunya cuaca mengikut musim, kini ia sering berubah.

Antara azam saya tahun ini adalah untuk merakam seberapa banyak keindahan alam dan makhluk-makhluknya. Ia sebagai satu usaha saya untuk memakmurkan alam ini dengan mendidik manusia untuk mencintai alam dan makhluknya.

Ketidaktentuan alam sekarang ini tentunya adalah kesan daripada kerakusan tangan-tangan manusia itu sendiri. Terlalu banyak kesan daripada kemusnahan alam yang telah berlaku pada tahun 2007. Cuma kita yang masih alpa.

Semoga usaha kecil ini berbaloi.

Tuesday, December 18, 2007

Di kehijauan ini


Damai. Pulang ke kampung. Dengan segala ketenangan. Kenangan dalam kehijauan.

Lagi gambar di http://hasyun.fotopages.com

Wednesday, December 12, 2007

Sekilas di Utusan Malaysia

Hari ini terbaca satu fakta menarik di ruangan Sekilas di Utusan Malaysia:

Rakyat negara kita pada masa ini menghasilkan bahan buangan seberat 25,600 tan sehari manakala kadar kitar semula ialah 5% sahaja. Kadar purata kitar semula negara maju ialah 30-47%. Sebagai perbandingan, Korea, Denmark, Jerman dan Singapura telah pun mencapai tahap kitar semula pada kadar 40-45%.

Nampaknya kadar 5% ini adalah lebih baik sedikit daripada fakta yang saya perolehi daripada kerja kursus pelajar saya yang saya berikan pada awal tahun ini (2007) yang lalu:

It is estimated about 17,000 of waste generated in Peninsular Malaysia and the average per capita generation of waste 0.85 kg/cap/day. In Kuala Lumpur only, it is about 1.5 kg/cap waste generated per day. From the total amount of waste generated in Malaysia, about 76% of the waste is collected. Most of the waste is taken to disposal site and only 1-2% is recycled.

Banyak kerja lagi perlu dilakukan!

Monday, December 10, 2007

Green and Healthy Buildings for the Healthcare Industry

Sedang membaca satu artikel bertajuk Green and Healthy Buildings for the Healthcare Industry yang ditulis oleh Gail Vittori. Ini adalah sebahagian daripada kajian dan projek konsultansi saya dengan Kementerian Kesihatan untuk membina sebuah hospital di Shah Alam yang bersifat hijau (green).

Mengikut kajian yang dikeluarkan oleh U.S. Environmental Protection Agency (EPA), mendapati bahawa bangunan dan bahan-bahan binaan yang membinanya merupakan antara 5 punca kepada masalah kesihatan manusia yang mendudukinya.

Ini adalah kerana kebanyakkan semua bangunan di dunia ini menggunakan bahan-bahan binaan yang tidak mengendahkan alam dan kesihatan. Misalnya bahan-bahan PVC, merupakan bahan yang banyak mengeluarkan dioxin yang memerbahayakan kesihatan manusia dan alam.

Oleh kerana itulah, saya dan pasukan di universiti sedang bertungkus-lumus memastikan projek ini berjaya. Dan sekiranya ia berjaya, tentunya hospital ini akan menjadi satu tanda aras kepada pembinaan bangunan yang lebih bersifat mesra alam dan mesra kesihatan.

Sunday, December 2, 2007

Akta baru

Minggu lepas terdengar di berita bahawa satu akta mengenai pengurusan sampah akan dikuatkuasakan pada tahun hadapan. Tetapi saya masih tercari-cari tulisan mengenainya. Mungkin perlu ke DOE untuk mendapatkannya.

Tertarik mengenai akta ini, apabila pihak berkuasa akan menguatkuasakan perintah untuk mengasing-asingkan sampah mengikut jenis. Bagi mereka yang engkar, akan dikenakan denda.

Saya di rumah dan di pejabat, sememangnya telah mengamalkan pengasingan sampah mengikut jenis. Misalnya kertas, kotak, besi, plastik dan sebagainya. Hasilnya, hanya sampah dapur sahaja yang akan dibuang di pintu pagar. Itupun, sekiranya ada peralatan dan ruang yang mencukupi, pasti saya akan cuba mengamalkan sistem kompos, iaitu memproses sampah dapur menjadi baja.

Saya cuba menyakinkan beberapa pelanggan saya untuk mengamalkan pengasingan sampah ini di dalam organisasi mereka. Namun begitu, selalunya jawapan yang didapati ialah tugas-tugas ini telah diberikan kepada kontraktor-kontraktor sampah. Sejauh mana mereka ini pula mengamalkannya, memang terbukti tidak pernah mengamalkannya. Kerana faktor kos. Yang tentunya kos akan bertambah apabila mereka terpaksa menyediakan pelbagai jenis tong yang berasingan, dan pastinya lori-lori yang berlainan.

Sunday, November 25, 2007

Besi buruk

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, barangan lusuh menjadi satu barang yang begitu berharga. Tentunya kepada mereka yang memerlukan wang segera. Walaupun tidak begitu mendapat tempat di hati mereka yang sudah 'kaya', tetapi kepada mereka yang memang memerlukan wang, ia adalah lubuk emas.

Besi, umpamanya, menjadi antara barang lusuh yang dicari-cari. Yang tidak bertanggungjawab pula sanggup mencuri barangan besi awam, seperti besi-besi di tiang-tiang elektrik, penutup longkang dan sebagainya.

Saya pula, telah memulakan satu projek besi buruk di pejabat saya. Mudah saja, iaitu dengan mengumpul dawai-dawai kokot (ubat stepler) yang tidak digunakan lagi. Diceraikan dari kertas-kertas yang akan dihantar ke recycling centre, dan dikumpulkan di dalam satu bekas. Walaupun mungkin bertahun ia akan mencapai berat 1 kg, tetapi jika tidak dimulakan sekarang, bila lagi ia akan menimbun sebanyak begitu?

Anda juga boleh memulakan di pejabat. Mudah. Carikan bekas yang menarik, dan leraikan ia dari kertas-kertas yang tidak digunakan lagi.