Sunday, November 11, 2007

Alam dan Manusia


Mengapa perlu mengurus kemudahan? Mengapa kita perlu mengurus alam?


Untuk menjawab persoalan ini, satu lagi persoalan yang perlu disoal. Mengapa kita dilantik oleh Allah sebagai Khalifah, yang padahal lebih banyak makhluk ciptaan Allah yang besar, gagah tetapi semuanya menolak pelawaan itu. Sebaliknya Adam menerimanya, tetapi disoal semula oleh para malaikat. Iblis pula yang ketika itu adalah ketua malaikat terus menjadi kafir kerana mengingkari perintah Allah untuk sujud menghormati Adam.

Jadinya, apa keistimewaan kita sebagai makhluk yang terpilih untuk memerintah dan mengurus alam? Yang padahal, juga disebut di dalam Al-Quran, manusialah juga yang akan memusnahkan alam ini.

Sejak kedatangan spesis kita ini ke muka bumi, memang sudah banyak kemajuan dan kemusnahan yang kita lakukan. Kita telah memusnahkan hutan, langit dan lautan untuk menjadikan ia tempat kita berteduh, menggunakan sumber-sumber yang ada untuk kehidupan dan memuaskan nafsu dan kehendak.

Memang tak salah untuk menggunakan segala apa yang ada di bumi. Malah, Allah telah menjadikan bumi ini sebagai tempat kita hidup sementara menanti kehidupan abadi. Tetapi, yang menjadi isunya ialah penggunaan sumber tanpa pengurusan yang cekap, sehingga memusnahkan bumi.

Ini yang menjadi isunya. Dan yang inilah yang sedang saya perjuangkan. Perjuangan mengikut keupayaan sendiri. Perjuangan yang perlu dilandaskan dengan iman. Perjuangan yang bukan sia-sia hanya untuk dunia, tetapi sebaliknya berniat hanya kerana Allah, untuk mendapat keredhaannya. Untuk bersyukur kepada semua nikmat dan rezeki-Nya.


No comments: